KHAMIS, 1 SEPTEMBER 2022
TEBEDU: Perkhidmatan bas ekspres melibatkan laluan antara Kuching dan Pontianak, Indonesia kembali beroperasi mulai hari ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bagaimanapun tempoh percubaan perkhidmatan bas ekspres antara dua wilayah ini akan dijalankan dalam tempoh sebulan dan akan berakhir 30 September depan.
Menurutnya, langkah ini diambil bagi mengawal dan mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
“Setakat ini lima permit telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jabatan Pengangkutan Indonesia kepada operator bas di Sarawak iaitu Biaramas Bas Express, manakala untuk operator bas lain, permohonan mereka masih lagi dalam proses pertimbangan.
“Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak juga hanya meluluskan lima permit untuk syarikat Damri Express,” katanya semasa menyaksikan pembukaan semula perkhidmatan bas ekspres bas di pekarangan ICQS Tebedu pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Darat & Udara), Datuk Dr. Jerip Susil, Konsul General Republik Indonesia di Kuching , Bapak R. Sigit Witjaksono, Konsulat Malaysia di Pontianak, Azizul Zakri Abdul Rahim, Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw dan tetamu jemputan lain.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menambah, masa operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu adalah pada jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala ICQS Pontianak beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Katanya, sepanjang tempoh percubaan ini, operator bas Sarawak dan Pontianak akan beroperasi mengikut jadual ditetapkan iaitu, Biaramas Express pada Selasa, Khamis dan Sabtu, manakala Damri Express pada Isnin, Rabu dan Jumaat.
“Hari ini pembukaan semula perkhidmatan bas rentas sempadan selepas negara dilanda pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas.
“Kita yakin, pembukaan pintu sempadan kedua wilayah ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan perdagangan antara Sarawak dan Indonesia,” katanya.-EDISI UKAS