JUMAAT, 2 SEPTEMBER 2022
KUCHING: Pusat Penerangan Islam (IIC) – Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menganjurkan program syarahan umum edisi wanitabertajuk “Serikandi Syurga, Dimanakah Kita?” di Dewan HIKMAH, disini pada Jumaat.
Program ini menyaksikan Timbalan Dekan (Jaringan dan Alumni), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dato Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim telah dijemput untuk berkongsi pandangan dan perspektif beliau mengenai topik berkenaan.
Ketua Pegawai EKsekutif IIC, Dr Asmah Othman memberitahu, topik yang disampaikan ini mengupas tentang isu wanita yang bekerjaya dan cara mereka untuk menghadapi dan mengatasi cabaran pada masa kini.
“Seramai 500 orang telah hadir yang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan, pertubuhan korporat, Badan Bukan kerajaan (NGO) Islam dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Ujar Dr Asmah lagi, program syarahan umum IIC-MIS adalah salah satu platform yang digunakan untuk menyalurkan maklumat bagi meningkatkan pemahaman yang lebih baik tentang isu-isu semasa yang memberikan kesan serta kebimbangan kepada masyarakat Islam.
“IIC – MIS sejak penubuhannya pada tahun 2008 percaya bahawa ilmu dan pengetahuan dan maklumat yang tepat adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih baik dan berpengetahuan tinggi,” jelasnya lagi.
Turut hadir dalam program ini adalah isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Fatimah Mohamad Iskandar dan isteri Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak Datin Zarina Mohammed.-EDISI UKAS