JTS Berjaya Sukat 2.57 Juta Ekar Tanah NCR Sejak 2010 Sehingga Julai 2022

JUMAAT, 2 SEPTEMBER 2022

SERIAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter seluas 1,040,212 hektar atau 2.57 juta ekar tanah menerusi Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu dari tahun 2010 sehingga 31 Julai 2022.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah tersebut seluas 800,176 hektar atau 1.97 juta ekar tanah telah diwartakan.

Menurutnya, setakat 31 Julai lepas, sebanyak 55,160 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 68,998 hektar (170,498 ekar) bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN).

“Ini termasuklah sebanyak 889 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN yang disampaikan kepada 699 penerima bagi kawasan Kampung Pichin, Serian, Kampung Engkeroh Serian, Kampung Petag, Padawan, Kampung Beradau, Siburan dan Kampung Tubih, Serian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN, surat hak milik Seksyen 18 KTN dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Serian di Dewan Kampung Pichin di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja, John Ilus, ADUN Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim dan jemputan lain.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, pengiktirafan dan pemberian surat hak milik tanah NCR adalah satu perkara yang dekat di hati rakyat.

Jelasnya, kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka sekiranya tuntutan itu adalah sahih mengikut perundangan.

“Kerja-kerja pengukuran tanah NCR ini adalah mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang ditetapkan iaitu dilaksanakan berdasarkan permohonan tanah NCR yang diluluskan,” katanya. -EDISI UKAS

add comment