SABTU, 3 SEPTEMBER 2022
NIAH: Regatta @Niah 2022 kini kembali selepas empat tahun tidak diadakan termasuk dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus berkata, penganjuran regatta kali ini bukan sahaja memupuk perpaduan di kalangan masyarakat, tetapi juga memberi ruang dan peluang kepada masyarakat meningkatkan sosieokonomi.
Misalnya, wujudnya gerai-gerai jualan makanan, minuman dan cenderamata, malah homestay di kawasan ini juga telah kehabisan tempahan disebabkan ramai pengunjung dari luar datang ke Sepupok Niah ini untuk melihat dan merasai kemeriahan Regatta @Niah 2022.
“Seperkara yang kita lihat adalah kerjasama yang begitu erat di kalangan penduduk. Maknanya, regatta dapat memupuk perpaduan di masyarakat.
“Regatta juga dalam masa yang sama memberi ruang dan peluang kepada orang kita di kawasan ini untuk berniaga. Kalau kita lihat di tepi jalan dengan banyakknya gerai.
“Jadi, ini merupakan satu peluang kepada masyarakat tempatan kita untuk terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Regatta @Niah 2022 di Waterfront Niah, Pekan Sepupok Niah di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Regatta @Niah 2022 kali ini menampilkan Piala Raja Sungai baharu menjadi rebutan yang akan membawa pulang hadiah RM10,000.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu merangkap Penasihat Regatta @Niah 2022 menjelaskan selepas sekian lama kita bersendirian disebabkan pandemik COVID-19, penganjuran Regatta @Niah 2022 kali ini mencapai objektifnya apabila berjaya kembali mengeratkan silaturahim dan kemesraan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Saya lihat regatta dapat mencapai objektif yang sedemikian.
“Tambah lagi, sekarang ini kita bercerita tentang ‘Keluarga Malaysia’ dan melihat kepada hadirin yang hadir datangnya daripada pelbagai tempat dan latarbelakang.
“Jadi, inilah suatu yang menarik tentang regatta ini,” jelasnya.
Datuk Rosey turut melepaskan lumba perahu acara 15 Pekayuh Lelaki dan penyampaikan hadiah kepada pemenang kategori tersebut.
Selain penduduk setempat dan tempatan seperti Bintulu, Kapit dan Sibu, Regatta @Niah 2022 ini turut disertai peserta dari negara Brunei Darussalam.
Selain lumba perahu dan bot laju, turut diadakan pameran agensi kerajaan dan badan korporat, gerai jualan dan Subis Kitchen dan Pentas Rakyat yang mempersembahkan Ratu Regatta, persembahan bina badan, karoake dan Gendang Melayu. -EDISI UKAS