JUMAAT, 2 SEPTEMBER 2022
KUCHING: Skuad tenpin boling Sarawak meletakkan sasaran untuk memburu gelaran juara keseluruhan buat kali kelima pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 2022 pada September depan.
Bagi mencapai sasaran itu, Pengurus Pasukan, Robert Lu Nam Min berkata atlet Sarawak perlu memenangi sebanyak tiga atau empat pingat emas.
Katanya, skuad tenpin boling telah membuat persiapan rapi sejak SUKMA 2018 lagi dalam memastikan misi bergelar juara keseluruhan sekali lagi menjadi milik Sarawak.
“Seperti yang saya sering katakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Ketua Kontinjen dan Penolong Ketua Kontinjen, kita akan cuba menukar pingat perak kepada pingat emas. Sudah tentu kita akan cuba lakukan yang terbaik. Apa-apa boleh berlaku.
“Sasaran kita sudah tentu untuk sekali lagi menjadi juara keseluruhan. Untuk menjadi juara keseluruhan, kita perlu menang sekurang-kurangnya tiga hingga empat pingat emas. Jika lima memang sah menjadi juara.
“Kita sentiasa berikrar untuk mengekalkan kejuaraan…dan ia sasaran kita,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Megalanes Sarawak E-mart Batu Kawa baru-baru ini.
Dalam pada itu, Robert yang juga Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) tidak menolak cabaran sengit bakal diberikan pasukan dari Semenanjung terhadap atletnya pada SUKMA kali ini.
Ini kerana pasukan dari Semenanjung mudah menjalani latihan di venue utama SUKMA kai ini iaitu di Sunway Pyramid, ujar beliau.
Untuk tidak ketinggalan, pasukan Sarawak telah menjalani latihan fasa satu dan dua pada Julai lepas di Sunway Pyramid untuk menyesuaikan atlet dengan fasiliti di venue tersebut.
“Kali ini kita akan pergi ke Sunway Pyramid untuk program latihan fasa ketiga sebelum SUKMA bermula. Saya harap jurulatih dapat menguatkan keyakinan para atlet pada SUKMA kelak,” tambah beliau lagi.
Ditanya siapa pencabar utama Sarawak pada SUKMA kali ini, Robert berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka akan menjadi pesaing utama dalam kategori lelaki manakala Sabah dalam acara wanita.
Selain itu, beliau juga berharap atlet Sarawak bebas dari kecederaan dan masalah kesihatan lain semasa kejohanan berlangsung kelak kerana ia akan menjejaskan peluang untuk memenangi emas.
Untuk rekod, Sarawak muncul juara keseluruhan dalam acara tenpin boling pada temasya SUKMA 2010 di Perak, 2014 di Perlis, 2016 di Sarawak dan 2018 di Perak.
Senarai lengkap skuad tenpin boling Sarawak adalah (atlet lelaki) Abang Afiq Yazid Abang Azman, Abner Loo Chun Lik, Musayyar Khalid, Tsen Fan Yew, Mohd Zuhayr Redza Noor Azrul, (atlet wanita) Asya Dania Azree, Gillian Lim Siew Giok, Lavinia Kho Jia Jie, Nur Aina Kamalia Abdul Ayub dan Nur Hazirah Ramli. – EDISI UKAS