Delegasi Sarawak Sertai CPC Ke-65 Di Kanada

AHAD, 4 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Bersempena dengan Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) Ke-65 di Halifax, Kanada pada 20 hingga 26 Ogos lepas, Sarawak turut berkesempatan menghantar perwakilan ke persidangan tersebut.

Delegasi berkenaan telah disertai Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Serembu, Miro Simuh dan Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom.

Persidangan CPC pada kali ini mengumpulkan lebih 500 Ahli Parlimen, staf Parlimen serta pembuat keputusan dari seluruh perwakilan Komanwel bagi menangani isu-isu kritikal yang dihadapi di Parlimen pada masa kini.

Selain itu, ia juga merangkumi pelbagai persidangan dan mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Ke-65, Persidangan Cawangan Kecil CPA serta mesyuarat ‘The Society of Clerks-at-the-Table’ (SoCATT) Ke-56.

Dalam pada itu, Pele berkesempatan berkongsi pengalaman kepada ahli-ahli SoCATT yang lain berkaitan kaedah-kaedah yang telah diguna pakai di Sarawak dalam mengadakan Persidangan DUN ketika penularan wabak COVID-19. -Edisi UKAS

add comment