Kerajaan Sarawak Lulus RM150,000 Tambah Baik Fasiliti & Infrastruktur SMK Lake

AHAD, 4 SEPTEMBER 2022

BAU: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000 bagi menambah baik fasiliti dan infrastruktur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep memberitahu, RM100,000 daripada jumlah tersebut adalah untuk pemasangan baharu set penghawa dingin untuk dewan sekolah.

“Manakala RM20,000 adalah bagi pembelian baharu meja dalam bilik darjah dan RM30,000 lagi adalah untuk menaik taraf jalan dalam kawasan sekolah yang telah mengalami kerosakan,’’ katanya ketika merasmikan program Golden Holiday Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di SMK Lake di sini pada Sabtu.

Beliau menambah, inisiatif tersebut adalah demi memberi keselesaan kepada pelajar dan guru serta mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk sesi pembelajaran.

Dalam pada itu, Dato Henry berharap semua pelajar SMK Lake akan bekerja lebih keras demi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.

Untuk rekod, program Golden Holiday SPM 2022 itu merupakan program motivasi yang dijalankan selama tiga hari dan dua malam melibatkan 290 pelajar tingkatan lima.

Hadir sama ialah Pengetua SMK Lake, Cikgu Ramlee Bee dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lake, Nathan Achuk. -Edisi UKAS

add comment