AHAD, 4 SEPTEMBER 2022
MIRI: Kerjasama dan bantuan kewangan yang dihulurkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu kepada Tabung Bencana Sarawak COVID-19 telah banyak membantu rakyat Sarawak sepanjang pandemik COVID-19.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mewakili Kerajaan Sarawak, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang telah sama-sama membantu menjayakan misi kemanusian dalam memerangi dan membanteras COVID-19.
Selain kewangan, turut dihulurkan bantuan dari segi perkhidmatan kesihatan, tenaga kerja dan sebagainya untuk sama-sama memastikan setiap rakyat Sarawak mendapat kesihatan yang baik.
“Secara keseluruhannya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah menerima sumbangan berjumlah RM28 juta daripada pelbagai entiti.
“Sektor swasta dan komuniti perniagaan yang terdiri daripada 35 orang telah menyumbang sejumlah RM16.7 juta. Manakala kutipan daripada pelbagai jabatan kerajaan dan GLC menyumbang RM11.16 juta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) memberi seumbangan berjumlah RM172,400 kepada Tabung Bencana COVID-19 Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Barisan Hadapan COVID-19 Zon Utara di Hotel Pullman Miri di sini pada Sabtu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di atas sokongan dan keprihatinan beliau dalam meluluskan peruntukan bagi membantu kesihatan rakyat Sarawak dipelihara.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas yang juga Pengerusi JPBN Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Dato Sri Lee Kim Shin dan ahli-ahlinya yang bersama membantu memastikan wabak COVID-19 di Miri dapat dibendung.
Ini termasuk juga ahli-ahli JPBB Bintulu dan Limbang yang turut sama memastikan masyarakat di kedua-dua bahagian itu selamat daripada dijangkiti COVID-19.
“Zon utara adalah satu kawasan yang paling sukar.
“Dato Sri Lee Kim Shin telah bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kesihatan untuk memastikan semua rakyat di kawasan zon ini dapat diberikan vaksinasi,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan kerjasama, sokongan dan bersatu hati semua pihak telah membolehkan usaha menyelamatkan rakyat berjaya mencapai objektifnya.
Pada majlis itu, Datuk Amar Douglas telah menyampaikan sijil penghargaan kepada semua jabatan, agensi kerajaan dan syarikat serta NGO yang telah sama-sama membantu membanteras penularan COVID-19 di Zon Utara ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi JPBB Miri Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap Pengerusi JPBB Bintulu Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Ik Pahon Joyik. -EDISI UKAS