Khairy Tinjau Keadaan Klinik Kesihatan, Hospital Sekitar Parlimen Batang Sadong

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke beberapa klinik kesihatan dan juga hospital di kawasan Parlimen Batang Sadong pada Isnin.

Objektif lawatan kerja itu adalah untuk meninjau pembangunan dan infrastruktur lokasi-lokasi yang terlibat serta memastikan kualiti fasiliti dipertingkat dan ditambah baik demi menampung keperluan dan menjamin keselesaan masyarakat tempatan.

Khairy bersama rombongannya tiba di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud pada jam 10.20 pagi dan bergerak ke Klinik Kesihatan Semera sebagai lokasi pertama lawatan.

Beliau kemudiannya melawat Klinik Kesihatan Sadong Jaya sebelum meneruskan lawatan ke Hospital Simunjan.

Selepas itu, Khairy melawat Klinik Kesihatan Gedong sekitar jam 2.52 petang di mana beliau telah diberi taklimat oleh Pegawai Penguasa, Dr Liza Hasan berkenaan infrastruktur serta kemudahan fasiliti yang diperlukan di situ.

Selain itu, beliau turut berkesempatan meninjau keadaan kuarters kediaman para pegawai yang bertugas di situ.

Antara yang hadir sama dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Michael Tiang Ming Tee serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris. -Edisi UKAS

add comment