Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia, Taman Negara Niah Akan Jadi Tumpuan Pelancong Antarabangsa

SELASA, 6 SEPTEMBER 2022

MIRI: Pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO) akan menjadikan taman negara itu menjadi tumpuan baru kepada pelancong antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, dengan pengiktirafan dunia itu juga, ia boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelancong dan menyeru menghargai budaya.

“Sarawak dilimpahi dengan pelbagai tarikan pelancong dan boleh menyediakan pelbagai pengalaman dalam budaya, seni, alam semula jadi, makanan dan perayaan (CANFF).

“Hanya melalui pemuliharaan dan perlindungan yang serius, kita akan dapat mengekalkan warisan kita untuk dinikmati dan dikongsi oleh generasi akan datang dengan seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam bagi Persidangan Antarabangsa Mengenai Taman Negara Niah Untuk Pencalonan Tapak Warisan Dunia di Hotel Pullman disini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa persidangan itu adalah platform terbaik untuk berkongsi pengetahuan, merumus idea, mewujudkan kesedaran dan akhirnya mencapai penetapan Tapak Warisan Dunia UNESCO untuk Taman Negara Niah.

“Saya gembira dengan skop persidangan itu dan saya percaya ia akan membantu dalam menjaga, memelihara dan memulihara harta Taman Negara Niah, integriti dan ketulenan tapak, pemasaran produk dan industri kreatif, serta pengurusan pembangunan, promosi, kemudahan dan infrastruktur untuk pelancongan dan peningkatan komuniti,” ujar beliau lagi.

Ujar Datuk Sebastian Ting lagi, Sarawak berhasrat untuk menjadi destinasi eko-pelancongan dan acara perniagaan utama, didorong oleh komuniti yang diperkasakan dalam pemuliharaan warisan, budaya dan biodiversiti, selain menggalakkan pelaburan dan pembangunan dalam sektor pelancongan melalui tindakan yang bertanggungjawab.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Tazudin Mohtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Zolkipli Mohamad Aton.-EDISI UKAS

add comment