SELASA, 6 SEPTEMBER 2022
SAMARAHAN: Dalam usaha memantapkan sukan muaythai di Sarawak, Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) telah menganjurkan Kursus Asas Jurulatih Sukan Muaythai 2022 dan Kursus Asas Pengadil Dan Hakim 2022.
Kedua-dua kursus tersebut dianjurkan di Pusat Latihan Muaythai UiTM Samarahan, Sarawak pada Ahad lepas dan dikendalikan oleh Master Borhan Budong dari Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan dibantu jurulatih dari PMNS, Zulkeplie Abd Rahman dan Roslan Jahani.
Seramai 18 peserta mengambil bahagian dalam kursus asas jurulatih yang bertujuan melahirkan jurulatih yang berpengetahuan tinggi dan memenuhi kompetensi kejurulatihan dalam sukan muaythai.
Pengisian kursus itu dipecahkan kepada teori dan praktikal di mana ia menekankan topik seperti sejarah sukan muaythai, pengenalan organisasi sukan muaythai, hala tuju sukan muaythai, pengenalan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK), teori asas perundangan IFMA dan pengenalan ADAMAS/WADA.
Selain itu, peserta juga didedahkan asas Wai Kru (Khan 1), asas ‘pad work’, tugasan berkumpulan (teknik muaythai-8 limbs), ujian praktikal dan sesi postmortem dalam sesi praktikal.
Bagi kursus asas pengadil dan hakim pula, seramai 10 peserta mengambil bahagian.
Kursus tersebut bermotif melahirkan pengadil dan hakim berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.
Semasa sesi kursus tersebut, kesemua mereka didedahkan dengan teori perundangan IFMA, praktikal pengadil dan hakim di kejohanan sebenar serta sesi postmortem.
PMNS dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), PMM, UiTM dan Persatuan Muaythai Bahagian Samarahan atas sokongan terhadap penganjuran kursus berkenaan. – EDISI UKAS