Dasar & Visi Hijau Tarik Pelaburan Ke Sarawak

RABU, 7 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Dasar dan visi Sarawak yang jelas dalam peralihan kepada penggunaan tenaga hijau dan bersih merupakan faktor kukuh yang menarik pelabur asing ke negeri ini khususnya dalam proses penyahkarbonan. 

Dalam menzahirkan penghargaan kepada konsortium Korea Selatan yang menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam pengeluaran hidrogen dan ammonia, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mahu berkolaborasi dengan tiga industri utama Korea sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi hidrogen. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat penghargaan kepada pengurusan tertinggi POSCO, pembuat keluli terbesar Korea, di ibu pejabat konglomerat itu di Seoul, Korea Selatan pada Selasa. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan, Sarawak bertuah kerana kaya dengan sumber boleh diperbaharui seperti tenaga hidro dengan ianya merupakan sumber tenaga sifar karbon yang penting dalam menghasilkan hidrogen hijau. 

Premier Sarawak bersama delegasi beliau berlepas ke ibu negara Korea Selatan itu pada Ahad dengan tujuan antara lain meningkatkan kerjasama dengan industri-industri Korea dalam bidang penjanaan tenaga hijau dan inovasi.

Sementara itu, POSCO mempunyai perancangan untuk menggunakan hidrogen sebagai sumber jana kuasa dalam pembuatan keluli dan kebanyakan bekalan tersebut perlu diimport dari negara lain termasuk Malaysia, khususnya Sarawak. 

Selain itu, tiga syarikat Korea iaitu Samsung, Lotte dan POSCO telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) awal bersama Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk membina loji hidrogen di bawah Projek H2biscus. 

MoU tersebut dimeterai pada Januari lepas untuk menghasilkan hidrogen dan ammonia mesra alam di sebuah loji yang akan dibina di Bintulu. 

Projek Hydrogen/Ammonia Hijau H2biscus Sarawak itu bakal mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 630,000 tan metrik (mt) ammonia hijau, 600,000 mt ammonia biru, 460,000 mt methanol hijau dan 7,000 mt hidrogen hijau. 

Pada Rabu, Premier Sarawak akan disertai Naib Menteri Kedua Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea, Park Il-Jun menyaksikan pemeteraian MoU antara Sarawak Energy Berhad (SEB), SEDC dan Konsortium Samsung-POSCO-Lotte. 

Turut serta dalam delegasi Premier Sarawak ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datu Sharbini Suhaili. -Edisi UKAS

add comment