JPBN Sarawak Terima Pakai Keputusan Pemakaian Pelitup Muka Tidak Diwajibkan

RABU, 7 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)  Sarawak menerima pakai keputusan berhubung semakan semula keperluan pemakaian pelitup muka dan mula berkuatkuasa serta merta pada 7 September 2022.

Menurut kenyataan media JPBN Sarawak pada Rabu, berdasarkan penilaian situasi semasa COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa, pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) kini adalah atas pilihan (optional).

Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin selepas mengambil kira situasi COVID-19 di Malaysia yang bertambah baik pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

Selain itu, orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

Justeru itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi kes positif COVID-19 yang perlu ke CAC untuk menjalani penilaian kesihatan, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah, dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya.

Keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) dan kawasan terbuka adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan. -EDISI UKAS

add comment