Sarawak Sasar Jadi Pengeluar Hidrogen Komersial Menjelang 2027

KHAMIS, 8 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Sarawak berada di landasan yang betul untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 sekali gus merealisasikan visi untuk menjadikan negeri ini ke arah ekonomi hidrogen.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak telah mengambil langkah dan melancarkan pelbagai inisiatif untuk membangunkan ekonomi hidrogen Sarawak berdasarkan tenaga boleh diperbaharui.

“Pada masa ini, Sarawak Energy telah mengeluarkan Hidrogen Hijau di kemudahan mengisi minyak hidrogen bersepadu mereka di Kuching dan saya percaya adalah yang pertama di Asia Tenggara.

“SEDC Energy juga akan mula mengeluarkan Hidrogen Hijau di stesen PETROS menjelang akhir tahun ini serta kemudahan Pengeluaran Hidrogen Rembus untuk Autonomous Rapid Transit (ART) menjelang 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy, SEDC Energy, Samsung Engineering, Lotte Chemical dan Posco Holdings di Seoul, Korea.

MoU itu bertujuan untuk mengkaji bekalan tenaga hidro boleh diperbaharui untuk Projek Hidrogen Hijau/Ammonia di Sarawak yang dikenali sebagai Projek H2biscus.

Dalam pada itu, Premier Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Korea kerana menyediakan dana untuk projek berbilion dolar itu.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada Samsung Engineering, Posco Holdings dan Lotte Chemical yang disifatkannya sebagai “gergasi” dari Korea Selatan atas pelaburan mereka di Sarawak.

Jelasnya, projek berkenaan bukan sahaja akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara tetapi menjadi projek utama bagi seluruh rantau.

“Saya juga tidak sabar untuk melihat kerjasama ini berkembang lebih jauh dengan jangkaan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar pertama Sarawak yang sedia untuk dieksport menjelang 2027,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis MOU itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Datuk Lim Juay Jin, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh.

Turut hadir, Naib Menteri Kedua Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea, Park Il-Jun, Park -EDISI UKAS

add comment