JUMAAT, 9 SEPTEMBER 2022
KUCHING: Sebanyak 45 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong telah menerima geran tahunan daripada kerajaan Sarawak.
Penyampaian geran tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dalam satu majlis minum petang bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum(KMKK) kawasan Tupong bertempat di Hotel Serapi di sini pada Khamis.
Setiap JKKK telah diberikan geran sebanyak RM3,000 bagi mengadakan sebarang aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada kampung masing-masing.
Semasa berucap, Fazzrudin memohon agar kesemua KMKK yang telah dilantik untuk bekerjasama dengan beliau dalam usaha mengatasi dan menambah baik setiap permasalahan yang berlaku di kawasan masing-masing.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Cawangan PBB DUN Tupong Dato Dr Zaiedi Suhaili, EXCO Cawangan PBB DUN Tupong dan wakil dari Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya. -EDISI UKAS