Premier Sarawak Bertemu Dua Syarikat Korea Selatan, Minat Melabur Dalam Industri Petrokimia Sarawak

JUMAAT, 9 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah berjumpa dengan dua syarikat Korea Selatan yang berminat untuk melabur dalam industri berkaitan petrokimia di Sarawak, di Seoul pada Khamis. 

Menurut satu kenyataan media, dua pelabur berpotensi tersebut akan mengeluarkan produk yang merupakan sebahagian daripada rantaian petrokimia kompleks yang dipromosi serta dibangunkan oleh Sarawak.

Difahamkan, pelaburan jenis itu mampu disokong oleh Bintulu yang mempunyai infrastruktur berkaitan serta merupakan lokasi asas kepada majoriti aktiviti petrokimia di Sarawak.

Pada masa sama, beberapa projek petrokimia yang sedang dijalankan di Bintulu dapat memberikan sinergi kepada pelaburan tersebut, seterusnya mewujudkan rantaian nilai yang lebih lengkap bagi industri petrokimia di Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menyambut baik pelaburan tersebut kerana selari dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak dengan industri petrokimia merupakan salah satu industri yang boleh membantu negeri ini mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kenyataan itu juga menyebut Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak akan membantu dua pelabur tersebut berhubung cadangan mereka. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Penasihat MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Pegawai Khas MINTRED Datu Liaw Soon Eng, Duta Malaysia ke Republik Korea Datuk Lim Juay Jin dan Pengarah MIDA Seoul Mohamad Reduan Mohd Zabri. -Edisi UKAS

add comment