SABTU, 10 SEPTEMBER 2022
SIMANGGANG : Peserta dari Serian, Linda Michael telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Ratu Cantik Kebaya Nyonya Benak 2022 anjuran Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman pada Khamis.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh isteri Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datin Simba Nallang.
Linda, 39 tahun telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah Rm2000 beserta piala, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Manakala, naib johan dan tempat ketiga disandang oleh Alice Yii, 29 tahun, dari Sri Aman dan Jessica George,35 tahun, berasal dari Betong dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1500 dan RM1200 beserta piala, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Dalam pada itu, Jessica George juga turut dinobatkan sebagai pemenang Ratu Kebaya Tercantik dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 dan hadiah iringan.
Manakala Nur Faizah Abdullah pula dinobatkan sebagai Ratu Personaliti dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 dan hadiah iringan.
Dalam majlis sama, turut diserikan dengan Persembahan Band Sri Aman Buskers dan persembahan nyanyian dari artis iban iaitu Linda simai, Pamela David dan Rickey Andrewson.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, Residen Bahagian Sri Aman, Sirai Daha, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022, Elvis Didit serta Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat.-EDISI UKAS