SABTU, 10 SEPTEMBER 2022
LANGKAWI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar telah menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2022 di Langkawi, Kedah yang diadakan pada 9 hingga 11 September 2022.
Majlis perasmian persidangan pada 10 September 2022 telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Tunku Mahmud Sallehuddin ibni Tunku Badlishah.
Sementara itu, Tan Sri Mohamad Asfia turut ditemani oleh Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom.
Semasa persidangan tersebut, tiga kertas kerja telah dibentangkan dan khususnya dua kertas kerja yang akan dibentangkan oleh Speaker Parlimen, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Bahagian Penyelidikan Parlimen Malaysia iaitu Pengenalan Sistem Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Cadangan Penubuhan Bahagian Penyelidikan di setiap Dewan Undangan Negeri.
Dalam pada itu, persidangan tersebut juga diharap dapat mengeratkan hubungan antara Parlimen dan semua DUN di Malaysia dan sebagai medan perkongsian ilmu, percambahan minda dan dimensi baru bagi melaksanakan tanggungjawab untuk melestarikan demokrasi di DUN masing-masing.
Persidangan kali ini telah dihadiri oleh semua Speaker, Timbalan Speaker dan Setiausaha di Malaysia.- EDISI UKAS