ADUN Saribas Sempurnakan Majlis Penangguhan Kursus Asas Pertahanan Awam Di Debak

AHAD, 11 SEPTEMBER 2022

DEBAK: Seramai 51 individu telah menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 3/2022 anjuran Pertahanan Awam Bahagian Betong.

Majlis penangguhan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam di Dewan Komuniti, Debak pada Sabtu.

Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan Pejabat Unit Pertahanan Awam (PUPA) yang baru siap dibina di Debak.

Jelasnya, penubuhan pejabat ini memudahkan pengoperasian terutamanya semasa bencana di kawasan Daerah Debak serta dapat mengembangkan khidmat APM ke arah memberi perkhidmatan kepada masyarakat. 

“Syabas dan tahniah kerana mengambil bahagian untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Tugasan murni ini hanya insan tertentu sahaja yang sanggup untuk menyahut dan memikul tanggungjawab ini.

”Semoga terus komited dan tanpa jemu membantu bagi yang memerlukan. Saya dengan bangganya bersetuju akan sentiasa membantu APM Sarawak khususnya APM Betong bagi memantapkan lagi PUPA Debak demi memberi perkhidmatan ketika bencana dan kecemasan,” katanya. – EDISI UKAS

add comment