Konsep Keluarga Malaysia Pastikan Setiap Rakyat Dilayan Secara Adil

AHAD, 11 SEPTEMBER 2022

KANOWIT: Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob membawa pengertian yang cukup besar kepada rakyat negeri ini.

Menurut Menteri Kesihatan II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang, di bawah konsep itu, setiap keluarga di negara ini akan dilayan secara adil dan tiada keluarga yang akan dipinggirkan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Kuih Bulan bertempat di Tua Pek Kong Kanowit pada Sabtu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana.

Tambahnya, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos yang lepas dan Hari Malaysia pada 16 September nanti juga menuntut penghayatan yang mendalam khasnya bagi generasi muda dalam memperingati perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh negara sebelum ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Tokong Hock Ann Teng di mana majlis pada malam itu juga serentak dengan sambutan ke-40 tahun penubuhan tokong itu di Kanowit.

Terdahulu semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Chuwie, Ulu Sungai Mapai pada sebelah pagi, Anyi menjelaskan akan berurusan dengan Pejabat Residen Sibu bagi mengetahui punca sebenar projek Jalan Simpang Rumah Chuwie yang dikategorikan sebagai projek sakit.

Selain itu, beliau juga akan mendapatkan maklumat yang selanjutnya daripada agensi pelaksana yang terlibat berhubung projek bekalan air terawat yang dikatakan sudah diluluskan sebelum ini.

Beliau juga mengulangi fokusnya untuk membawa perancangan pembangunan infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan belia di kawasan Ngemah.

Ini akan dilaksanakan melalui 35 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk DUN Ngemah pada tahun ini yang menelan bajet berjumlah RM5 juta.

Tambahnya, sebanyak 86 penerima terdiri daripada JKKK, Biro Wanita dan PIBG telah menikmati geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 berjumlah RM1.1 juta. – EDISI UKAS

add comment