AHAD, 11 SEPTEMBER 2022
SRI AMAN: Bersempena dengan Pesta Benak Sri Aman, bandar ini sekali lagi dimeriahkan dengan penganjuran Mr. Benak Sri Aman 2022 pada Sabtu.
Edisi kali ini yang diadakan di Pentas Kebudayaan Pesta Benak 2022 telah menyaksikan penyertaan sebanyak 23 orang dari seluruh Sarawak yang bersaing dalam beberapa kategori termasuk 65 kilogram (kg) Ke Bawah Tertutup, 65kg Terbuka, Athletic Physique, 65kg – 75kg, dan 75kg Ke Atas.
Dalam pada itu, kategori 65kg Ke Bawah Tertutup telah dirangkul Iqbal Kadir Ahmad yang mendapat RM1,500, kategori 65kg Terbuka milik Mohd Sabli Tuah dengan hadiah sebanyak RM1,500, kategori Athletic Physique dimenangi Alfie Khan Abdul Aziz Khan yang membawa pulang RM2,000, kategori 65kg – 75kg dijuarai Joseph Ladi yang mendapat RM2,000 serta kategori 75kg dirangkul Farroth Ithisam Ting dengan hadiah sebanyak RM3,000.
Manakala, Farroth Ithisam Ting dinobatkan sebagai Juara Antara Juara di mana beliau diberi wang tunai sejumlah RM500.
Kesemua pemenang turut membawa pulang pingat serta hamper dalam majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Residen Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022, Elvis Didit, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Mr. Benak Sri Aman 2022, Buda Anchah.
Terdahulu pada hari sama, Datuk Francis yang juga Penaung Kelab Pekicau Burung Simanggang telah menyempurnakan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung Berkicau Edisi 1/2022 di Perkarangan Pasar Tamu Baru Simanggang di sini.
Kategori utama yang dipertandingkan iaitu Raja Benak melihat penyertaan sebanyak 40 Murai Batu dan 33 Murai Kampung manakala 44 Murai Batu dan 35 Murai telah berdaftar dalam kategori Raja Bakat.
Kategori Raja Gelora pula menyaksikan pendaftaraan 48 Lovebird serta 41 Serindit di samping pertambahan satu kategori baharu atas permintaan para pemain yang mana ia menyaksikan pendaftaran sebanyak 31 burung Pleci.
Untuk rekod, kesemua kategori tersebut telah berjaya mencapati 258 gantungan serta merekodkan penglibatan seramai 205 pemain yang datang dari seluruh Sarawak termasuk Kuching, Kota Samarahan, Seduku, Betong, Spaoh, Sibu, Bintulu, Belaga, Kapit serta Miri.
Datuk Francis mengumumkan bahawa beliau telah menyumbang RM10,000 kepada Jawatankuasa Kelab Pencinta Burung Simanggang bagi tujuan penganjuran pertandingan tersebut.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani serta wakil dari Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Mohd Ashree Wee. -Edisi UKAS