AHAD, 11 SEPTEMBER 2022
BINTULU: Semua pihak berperanan untuk memastikan makanan yang dimakan adalah selamat dan tidak menjejaskan kesihatan sama ada kerajaan, pengeluar dan pengguna.
Dalam konteks tersebut, setiap individu berhak untuk mendapatkan makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi, demikian kata Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhammad Yakup Kari.
Katanya lagi, makanan bukan sekadar sumber tenaga untuk terus hidup, tetapi juga menjadi suatu cermin budaya, simbol keberhasilan kerjasama dan penggerak ekonomi sesuatu masyarakat.
Menurutnya, makanan yang bersih, selamat dan sihat, adalah cermin kepada tabiat individu, kebiasaan keluarga, budaya masyarakat dan juga kemampanan rantaian industri makanan dan ekonomi setempat.
“Pengambilan makanan yang kotor, rosak dan tidak selamat boleh menyebabkan keracunan makanan.
“Oleh yang demikian, sebelum menjamah sesuatu makanan, hadirin diingatkan untuk mengamalkan teknik yang kita pelajari pada hari ini iaitu “Lihat, Hidu dan Rasa”, katanya ketika berucap mewakili Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing merasmikan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia dan Bulan Pemakanan 2022 di perkarangan Pasaraya Farley, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, pemilihan makanan yang selamat, bersih dan sihat merupakan tanggungjawab semua pihak daripada peringkat individu sehingga peringkat komuniti.
Tegasnya lagi, tabiat pemakanan tidak seimbang secara berterusan boleh mendatangkan penyakit darah tinggi, penyakit jantung, kanser dan kencing manis dalam jangka masa panjang.
“Manakala, pengambilan garam secara berlebihan dan kurang mengambil buah-buahan dan bijirin penuh pula akan mengganggu keseimbangan dalaman tubuh individu.
Oleh itu beliau menggesa masyarakat mengambil makanan secara selamat, bersih dan sihat bermula dari sekarang,
Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran program seperti ini bakal menjadi pembakar semangat kepada syarikat, individu, mahupun premis-premis makanan yang lain untuk turut mendapatkan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Malah, beliau juga yakin KKM komited dalam memudahkan pengguna mendapatkan makanan yang terbaik.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pengurus besar Kumpulan Syarikat Farley Eijing Lau dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Eraou Batang.-EDISI UKAS