AHAD, 11 SEPTEMBER 2022
SIMANGGANG: Pasukan Cahaya Helang Tasik dinobatkan sebagai ‘Raja Benak Batang Lupar’ pada tahun ini selepas muncul juara bagi kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki dalam Regatta Batang Lupar sempena Pesta Benak Sri Aman 2022 yang melabuhkan tirainya pada petang Ahad.
Kemenangan tersebut sekaligus membolehkan pasukan baharu dalam arena regatta tersebut merangkul piala rebutan utama-Piala TYT dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
Naib johan pula disandang pasukan Bestari dan ketiga milik Mahkota Dewa Gedong dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan RM5,000.
Pasukan Cahaya Helang Tasik milik Fadli Ibrahim dari Saratok pula melakar sejarah tersendiri apabila penyertaan kali pertama di Regatta Pesta Benak kali ini membuahkan hasil dan menjadi Raja Sungai bagi Reggata Batang Lupar edisi ke-19.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Benak Sri Aman 2022, Elvis Didit. -EDISI UKAS