AHAD, 11 SEPTEMBER 2022
SRI AMAN: Rumah Rehat Sri Aman kini sedang dibaik pulih serta diubah menjadi sebuah muzium menjelang tahun 2023.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, muzium itu antara lain bakal memaparkan sejarah mengenai peristiwa Deklarasi Sri Aman yang ditandatangani pada tahun 1973.
“Kementerian saya melalui Jabatan Muzium Sarawak giat berusaha untuk memastikan bangunan tersebut disiapkan menjelang ulang tahun ke-50 perjanjian yang ditandatangani di rumah rehat itu.
“Denga adanya muzium ini nanti, orang awam terutamanya golongan muda mampu mendapat tahu serta menghayati sejarah di sebalik nama Sri Aman, pemeteraian deklarasi berkenaan serta situasi kehidupan yang perit sebelumnya,’’ katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Benak Sri Aman 2022 di Astaka Regatta Waterfront Sri Aman pada Ahad.
Untuk rekod, Deklarasi Sri Aman merupakan satu perjanjian keamanan yang ditandatangani pada 21 Oktober 1973 antara pihak kerajaan dengan komunis.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, penganjuran pesta berskala besar seperti Pesta Benak Sri Aman mampu memberi manfaat kepada industri-industri lain berkaitan sektor pelancongan.
“Ini termasuk industri kraftangan, perhotelan, kedai makan dan juga badan-badan kebudayaan,’’ ujarnya.
Majlis penangguhan pesta tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Pada program itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah berkesempatan menyaksikan perlawanan peringkat akhir kategori Sakai 20 Lelaki bagi acara Regatta serta melawat ke pameran pembangunan.
Difahamkan, Pesta Benak Sri Aman 2022 telah menyaksikan anggaran kehadiran sekitar 60,000 pengunjung yang datang untuk menghiburkan diri dengan pelbagai pengisian acara yang ada pada kali ini.
Antara yang hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Penasihat Pesta Benak Sri Aman 2022, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Sri Aman, Sirai Daha serta Timbalan Residen Sri Aman Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022, Elvis Didit. -Edisi UKAS