SELASA, 13 SEPTEMBER 2022
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Penjara Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Mohd Andri Md. Ridzwan di pejabat beliau di Baitul Makmur II, Petra Jaya pada Selasa.
Tujuan kunjungan hormat adalah untuk memberi taklimat dan menjemput Dato Sri Fatimah sebagai Tetamu Kehormat ke Program Outreach Pembebasan Banduan Berlesen (PBSL) yang akan diadakan di Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu pada 20 September 2022.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata program tersebut adalah alternatif yang baik bagi kesediaan banduan untuk menempuh kehidupan semula dalam masyarakat.
“Berdasarkan bukti yang dilihat, didapati bahawa keberkesanan mereka yang melalui program PBSL adalah lebih baik berbanding mereka yang tidak melalui tempoh peralihan tersebut,
“Sarawak mempunyai kadar residivisme, iaitu peratusan bekas banduan yang ditahan semula atas kesalahan yang sama yang terendah di dunia.” jelasnya.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional PPNS Penguasa Penjara (PP) Peter Rex Barthy, Ketua Seksyen Pengurusan Banduan PPNS Ketua Inspektor Penjara (KIP) Floria Jonathanseh dan Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial KPWK Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah. – EDISI UKAS