SELASA, 13 SEPTEMBER 2022
BINTULU: Dua kapal nelayan tempatan telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu pada jarak lebih kurang empat dan lima batu nautika dari Pantai Samalaju, Bintulu pada 6 september sekitar jam 6.30 pagi, Selasa lalu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kapal nelayan tersebut ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda.
“Tangkapan dibuat atas aduan daripada komuniti nelayan setempat kerana terdapatnya segelintir kapal nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan bagi nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai,” katanya.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal tersebut dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong.
“Dua orang tekong termasuk semua kru adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 28 hingga 77 tahun dan kesemua kru tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri iaitu passport.
“Dua kapal, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, beserta 150 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap turut disita,” jelasnya lagi.
Mohd Khairol memberitahu, kedua-dua kapal tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.-EDISI UKAS