Kepelbagaian Etnik & Budaya Adalah Identiti Kehidupan Rakyat Sarawak

SELASA, 13 SEPTEMBER 2022

LIMBANG: Kepelbagaian etnik di daerah Limbang khasnya dan Sarawak amnya membolehkan masyarakat hidup dalam kebersamaan dan harmoni. 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, masyarakat di sini yang terdiri daripada Melayu, Kedayan, Bisaya, Cina, Iban, Penan, Tabun dan sebagainya telah hidup bersama sejak dahulu lagi. 

“Sejak dahulu lagi kita sudah didedahkan dengan kepelbagaian kaum dan budaya dan kita sedar bahawa inilah identiti kita di sini dan kerana itu kita semua dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. 

“Melihat kepada  Konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, ia sebenarnya sudah lama menjadi amalan kita di Sarawak. 

“Hakikatnya Sarawak adalah ikon perpaduan Malaysia yang tidak dapat kita nafikan kerana kita rakyat Sarawak penuh dengan nilai-nilai kebersamaan dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Merdeka @ Parlimen Limbang Sempena Hari Malaysia 2022 di Tempat Letak Kereta Awam Majlis Daerah Limbang di sini pada Ahad. 

Ujar Datuk Hasbi yang juga merupakan Ahli Parlimen Limbang, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah pemikiran dan gerakan bersama oleh kesemua rakyat daripada tiga entiti utama yang masih kekal hingga ke hari ini dalam satu Persekutuan Malaysia iaitu Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah (Singapura berpisah daripada Persekutuan Malaysia pada 1965). 

“Pastinya kesepakatan antara rakyat di tiga wilayah terbabit masih lagi kekal utuh pada hari ini adalah hasil daripada hubungan baik antara kaum yang kekal lestari sehingga kini,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, kemerdekaan yang dicapai bukanlah suatu perkara yang mudah dan tanggungjawab sebagai generasi Keluarga Malaysia adalah untuk mempertahankannya bersandarkan jiwa patriotisme dan amalan kerukunan dalam kalangan rakyat.

Pelbagai pengisian acara menarik telah diadakan antaranya Senaman Keluarga Malaysia, pameran agensi, pertandingan Basikal Berhias, pertandingan Auto Show MotoCup, Pertandingan Karaoke Patriotik, Program Jualan Keluarga Malaysia KPDNHEP dan gerai jualan.

Turut sama hadir Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak Jaafar Jantan dan wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland.-EDISI UKAS

add comment