RABU, 14 SEPTEMBER 2022
PADAWAN: Pelbagai agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang melibatkan 38 kenderaan telah memeriahkan konvoi Hari Malaysia 2022 Peringkat Daerah Kecil Padawan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil telah menyempurnakan ‘flag off’ konvoi tersebut di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Padawan pada Selasa.
Menurut beliau, Sambutan Hari Malaysia adalah untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963.
“Tempoh hari, Hari Sarawak iaitu Hari Kemerdekaan Sarawak daripada pemerintahan British telah disambut di Bahagian Betong, manakala Hari Malaysia peringkat Sarawak pula akan disambut di Bahagian Bintulu dengan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.
“Tema ini adalah mengambarkan semangat, penghargaan, keprihatinan dan ketabahan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran dan dugaan semasa pandemik Covid-19.
“Ia juga dilihat sebagai usaha membina nilai persefahaman dan penyatuan dalam kepelbagaian bangsa yang ada di kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Tahun 2022 Peringkat Daerah Kecil Padawan di Dewan Kampung Rejoi, Bengoh Resettlement Scheme (BRS).
Untuk rekod, laluan konvoi Hari Malaysia 2022 Peringkat Daerah Kecil Padawan melibatkan beberapa buah kampung di sekitar daerah kecil Padawan di antaranya Kampung Braang Bayur, Kampung Emperoh Jambu, Kampung Emperoh Karu, Kampung Emperoh Semadang, Kampung Semban, BRS, Kampung Pain Bojong BRS, Kampung Taba Sait BRS dan berakhir di Dewan Kampung Rejoi BRS. -EDISI UKAS