Raptai Kemuncak Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2022 Berjalan Lancar

RABU, 14 SEPTEMBER 2022

BINTULU: Raptai kemuncak bagi sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2022 yang berlangsung di tapak Lapangan Terbang lama, Bintulu di sini pada malam Rabu berjalan lancar.

Hadir menyaksikan raptai penuh tersebut adalah Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan pada Jumaat ini (16 September).

Turut dijangka hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Antara tarikan utama pada malam tersebut kelak adalah persembahan daripada artis-artis tempatan dan artis terkenal tanahair seperti Dato’ M.Nasir, Andi Bernadee (Sabah), Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar, Sazia Selir dan Max Kueh.

Kemuncak sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2022 pula adalah dengan menyaksikan persembahan bunga api berirama.

Selaku tuan rumah, Bahagian Bintulu menjangkakan kira-kira seramai 5,000 orang jemputan akan memeriahkan sambutan ini.

Orang awam juga dapat menyaksikan siaran langsung sambutan berkenaan melalui secara langsung menerusi TVS saluran 122 Astro dan myFreeview serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube UKAS Channel.

Turut hadir menyaksikan raptai tersebut adalah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Sarawak, Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Haji Hazland Abang Hipni, Setiausaha Sulit Kanan kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datu Mustapa Han, Timbalan Residen Bintulu, Hussaini Hakim dan Ketua Polis Daerah Bintulu, P/Supt Batholomew Umpit. -EDISI UKAS

add comment