KHAMIS, 15 SEPTEMBER 2022
KUCHING: Taman Negara Mulu menerima dua anugerah iaitu ‘Nature Adventure’ dan ‘Eco-Tourism’ daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selama tiga tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Zolkipli Mohamad Aton, anugerah tersebut telah dianugerahkan oleh MOTAC kepada Taman Negara Mulu melalui satu survei yang digelar sebagai ‘Malaysia Tourism Quality Assurance’
“Taman Negara Mulu telah mendapat pingat emas, manakala pingat perak telah dianugerahkan kepada Taman Negara Bukit Lambir Miri.
“Sebelum ini kita juga pernah menerima anugerah seperti ini untuk Semenggoh Wildfire Centre,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia disini pada Khamis.
Tambahnya lagi, tujuan kunjungan hormat ini juga bertujuan bagi membincangkan usaha membawa dua pelabur dari Sabah dan Singapura yang akan melabur dalam pembangunan Taman Negara iaitu di Taman Negara Tanjung Datu dan Taman Negara Niah.
Turut hadir dalam majlis itu ialah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman -EDISI UKAS