KMKK Jadi ‘Mata dan Telinga’ Kepada Kerajaan, Rakyat Fahami Aspirasi Yang Dibawa

JUMAAT, 16 SEPTEMBER 2022

BATANG AI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Batang Ai perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan Sarawak supaya rakyat lebih memahami aspirasi dibawa kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, lndustri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, KMKK harus membantu menyelesaikan masalah rakyat selain menyalurkan maklumat dasar pentadbiran kerajaan kepada penduduk di kawasan mereka.

Jelasnya, suara hati masyarakat akar umbi di kawasan perlu disampaikan kepada kerajaan negeri bagi memudahkan tindakan selanjutnya oleh jentera kerajaan.

“Semua KMKK harus menjadi telinga dan mata kerajaan Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bukannya menjadi ‘racun’ dan menghasut rakyat.

“Segala permasalahan yang dibangkitkan penduduk tidak boleh dipandang ringan, dekati mereka dan cuba selesaikan kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Notis Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2022 N.34 Batang Ai di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu pada Khamis.

Sebanyak 39 Notis RTP telah disampaikan, namun hanya lima projek RTP yang memerlukan cabutan undi dan yang selebihnya (34) akan dilaksanakan dengan keadah JKKK Memilih Kontraktor (KJMK).

Hadir sama, Residen Bahagian Sri Aman, Sirai Daha, Pegawai Daerah Lubok Antu merangkap Pengerusi MDLA, Richard Ngumbang serta tetamu kehormat lain.

Tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, kestabilan dan kesejahteraan negeri ini hanya dapat dicapai apabila KMKK dan jentera kerajaan bekerjasama sebagai satu pasukan. -EDISI UKAS

add comment