MIPD, JKR Bekerjasama Pantau Pembinaan Infrastruktur Awam

SABTU, 17 SEPTEMBER 2022

BINTULU: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus memantau kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam di seluruh Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini bagi mengenal pasti dan menangani sebarang masalah yang boleh melambatkan pelaksanaan yang dijadualkan.

“Apa yang penting adalah kita mahu semua projek pembinaan dilaksanakan tepat pada masanya di samping projek yang telah disiapkan dapat menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, perhubungan dan komunikasi.

“Kami telah melihat terdapat beberapa kawasan yang telah terputus hubungan dengan bahagian lain di negeri ini.

“Oleh itu, ini juga berkaitan perihal menaik taraf kualiti sistem komunikasi seperti yang akan dicapai melalui pembangunan Lebuhraya Pan Borneo dan ‘Second Trunk Road’ atau laluan pesisir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2022 di Bintulu, pada Jumaat.

Terdahulu, Datuk Amar Douglas Uggah telah mengadakan lawatan ke tapak-tapak pembinaan jalan dari Sungai Arip ke Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu dan juga dari Tatau ke Kuala Tatau.

Timbalan Premier Sarawak itu menambah, situasi kesihatan negara hampir kembali normal dan semua sekatan dan kekangan yang dikenakan ketika penularan wabak COVID-19 kini telah berakhir.

“Jadi kita mahu pemain industri pembinaan, JKR, pihak kementerian dan juga kerajaan terus komited dalam program pembinaan dan kita mesti memastikan semua projek berjaya disiapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri MIPD menjelaskan, bagi mereka yang tidak dapat meneruskan pelaksanaan projek, langkah ketat akan diambil untuk membolehkan projek itu dapat diselamatkan dengan mengikut masa yang ditetapkan.

Mengulas mengenai masalah kekurangan pekerja pula, beliau akan terus berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki mengenai cara memudahkan pengambilan pekerja asing bagi memastikan masalah tersebut dapat diselesaikan dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau turut memohon kepada syarikat untuk mengambil lebih ramai orang tempatan sebagai pekerja mereka.

Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, JKR kini sedang berhubung dengan syarikat-syarikat yang berkelayakan berkaitan inisiatif ‘Variation Of Price’ (VOP) 2.0 di bawah pakej Bantuan Sarawakku Sayang 9.0. -Edisi UKAS

add comment