Kerajaan Sarawak Beri Penekanan Penuh Kepada Pembangunan Pendidikan

AHAD, 18 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi penekanan sepenuhnya kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membangunkan sektor itu, sekaligus memperkasakan lagi tahap pendidikan dalam kalangan rakyat Sarawak. 

“Sebagai contoh, Kerajaan Sarawak telah memperoleh semua aset bagi beberapa universiti di sini di samping berinteraksi dengan institusi pengajian tinggi terkenal di luar negara supaya berlaku pemindahan teknologi dan pengetahuan,’’ jelasnya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program ‘A Memorable Moment With The Premier’ di Yayasan Sarawak International School (YSISS) pada Ahad.

Sementara itu katanya, bahasa Inggeris mesti dikuasai untuk memahami pelbagai metodologi dan juga kemahiran baharu selari dengan perubahan teknologi yang berlaku. 

“Kita harus mengakui hakikat bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa. Sekiranya seseorang individu ingin membuat penyelidikan atau mendapatkan pengetahuan, dia tidak mempunyai pilihan lain selain menguasai bahasa Inggeris.” ujarnya lagi. 

Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah merasmikan program Fun Ride yang bermula di kediamannya dan tamat di YSISS. 

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad, Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli, Ketua Pegawai Eksekutif YSISS, Dr Eliza Fadzliaton Alias dan Pengetua YSISS, Bahtiar Affendi. – EDISI UKAS

add comment