Sambutan Hari Malaysia Bintangor Meriah, Penuh Bermakna

AHAD, 18 SEPTEMBER 2022

BINTANGOR: Sambutan Hari Malaysia diraikan dengan penuh meriah dan bermakna oleh penduduk di sekitar Bintangor dengan pelbagai aktiviti diadakan di Dewan Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin Bintangor pada Jumaat.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia, Ir Yusuf Abdul Wahab bersama kira-kira 300 orang.

“Semangat patriotik sebegini harus ada dalam diri setiap rakyat sebagai jati diri dan menjadi contoh kepada generasi muda.

“Hanya dengan bekerjasama dan perpaduan kaum sahaja dapat kita membentuk sebuah negara yang kuat, kukuh dan terjamin,” jelasnya.

Katanya, penubuhan Malaysia adalah penting bagi kemakmuran dan kemajuan Sarawak yang pada masa itu amat memerlukan pembangunan dalam semua aspek.

“Inilah yang kita selalu war-warkan apa itu MA63 jadi initipati syarat-kita menyertai Malaysia dahulu yang kita tuntut, yang kita laungkan, yang sentiasa disebutkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Ahli Parlimen kita bawa atau bangkitkan di Parlimen,” tambahnya lagi.

Selain itu, pelbagai acara telah diadakan sepanjang sambutan Hari Malaysia ini dijalankan seperti Pertandingan Fesyen kanak-kanak dan dewasa, karaoke lagu 60an dan cabutan tiket bertuah.

Pada majlis yang sama, Ir Yusuf juga turut menyampaikan peruntukan dana kepada enam buah pertubuhan berjumlah keseluruhan RM23,000 bagi menjalankan aktiviti tahunan yang telah dirancangkan.

Hadir sama pada program tersebut ialah Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Pengerusi Penganjur Samsawi Mohamad, Ketua-ketua Kaum dan penduduk Kampung Bintangor. – EDISI UKAS

add comment