AHAD, 18 SEPTEMBER 2022
BINTULU: Sarawak Dayak Educators Association (SDEA) berperanan memastikan kualiti pendidikan dalam kalangan komuniti tempatan terpelihara.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi, ini adalah sejajar dengan matlamat pembangunan modal insan untuk membolehkan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Warga SDEA hendaklah sentiasa bersedia mengadaptasi apa jua perubahan yang berlaku ke arah meningkatkan kualiti penyampaian sistem pendidikan dan perubahan dari segi cara bekerja agar sentiasa relevan mengikut masa.
“Ini akan memastikan anak-anak mendapat pendidikan dan latihan yang terbaik untuk menentukan masa depan yang lebih cerah dan terjamin.” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan EXCO SDEA Ke-3 Tahun 2022 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Jelasnya lagi, selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Bintulu telah memasuki gelombang pembangunan kedua dan pembangunan pesat yang berlaku di sini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang untuk anak Sarawak.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Song merangkap Presiden SDEA, Etam Lenggi dan Pengerusi SDEA Zon Bintulu, Paul Jarum. – EDISI UKAS