IBBC 2022 Platform Sokong Usaha Transformasi Ekonomi Digital

ISNIN, 19 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Penganjuran ‘International Borneo Business Conference’ (IBBC) 2022 merupakan platform bagi menyokong usaha kerajaan Sarawak mentransformasikan ekonomi negeri ini kepada ekonomi berteraskan digital.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, IBBC ke-10 yang bertemakan ‘Diversification of Economy and Business Sustainability: Opportunities and Challenges’ itu juga memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dipacu daripada pelbagai sumber.

Menurutnya, IBBC 2022 juga dapat membuka peluang kepada penyelidik dan ahli akademik bertukar idea terhadap isu yang dihadapi sektor ekonomi dan perniagaan di rantau Borneo.

“Kita menyaksikan pertumbuhan global yang semakin perlahan, tetapi kepelbagaian yang berjaya adalah penting di banyak negara membangun.

“Jadi, kita berharap persidangan ini akan memberi peluang yang baik kepada penyelidik dan ahli akademik untuk bertemu dan bertukar-tukar idea, terutamanya mengenai isu, prospek dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi dan perniagaan Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian IBBC 2022 di Hotel Raia dan Convention Centre pada Isnin.

IBBC 2022 merupakan anjuran Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UNIMAS yang bermula pada 19 sehingga 21 September 2022.

Datuk Dr Mohamad Kadim menambah, IBBC 2022 juga mampu memupuk kerjasama serta pakatan strategik bagi mengatasi kesukaran ekonomi yang akan datang dan menjamin kesejahteraan masyarakat.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Prof. Dr Rossazana Ab Rahim serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

add comment