ISNIN, 19 SEPTEMBER 2022
SERIAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) terus mempergiatkan usaha dalam menangani wabak rabies.
Menurut Pengarah JPVS, Dr Adrian Susin Ambud, masyarakat dalam pada itu harus memainkan peranan masing-masing untuk bekerjasama dengan pihaknya bagi mengawal wabak tersebut.
“Kita terus mempergiatkan usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa rabies masih wujud.
“Oleh itu, pemilik anjing wajib membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik veterinar berdekatan untuk mendapatkan vaksin.
“Vaksinasi Rabies ini wajib dilakukan setiap tahun mengikut Seksyen 40 dan ia amat penting kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri Program Pemvaksinan Antirabies Percuma di Dewan Masyarakat Serian, pada Sabtu.
Dr Adrian menambah, sebanyak 148 sampel telah diambil setakat ini di mana 31 sampel daripada jumlah tersebut didapati positif Rabies yang melibatkan 25 anjing dan enam kucing.
Ujarnya lagi, pihak JPVS mengenal pasti 72 kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan rabies sejak 2017 dan menyasarkan tiada kes menjelang 2025.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada masyarakat agar segera mencuci luka dengan air dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit dan terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan sekiranya digigit anjing atau kucing. -EDISI UKAS