Sarawak Berjaya Dapat Status Sama Rata MA63

ISNIN, 19 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Sarawak telah berjaya mendapatkan semula status sama rata persekutuan Malaysia mengikut perjanjian MA63.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pada penghujung tahun lepas, Kerajaan Sarawak telah secara beransur-ansur, secara sistematik mendapatkan semula hak milik negeri Sarawak.

Beliau berkata, ini termasuk pengenaan cukai jualan minyak dan gas, di mana Kerajaan Sarawak mengembalikan hak itu kepada rakyat Sarawak.

“Sebab itu kita ingin membantu rakyat Sarawak untuk mencapai sehingga RM6.8 bilion.

“Dan untuk pengetahuan anda, bulan lepas kita telah pun meningkat kepada RM1 bilion,” katanya semasa merasmikan Sambutan Pesta Kuih Bulan & Sambutan Ulang Tahun anjuran Persatuan Pengimport & Pengeksport Perdagangan China Kuching dan Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Shangri-La Seafood City One, Kuching pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata di Sarawak jumlah perdagangan antara China dan Sarawak ialah RM27.045 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak RM18.633 bilion adalah hasil eksport ke China dari Sarawak.

“Import kita tidak terlalu banyak iaitu sebanyak RM8.4 billion sahaja.

“Penduduk di China ramai, maka sudah tentu ia memerlukan eksport yang banyak manakala penduduk Sarawak kecil, maka import pun kurang.

“Tetapi kami mempunyai sumber dan saya pasti Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing akan mempromosikan Sarawak ke China,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Tuan Yang Terutama Konsulat – Jeneral Republik Rakyat China Xing Wei Ping, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, Presiden Persatuan Pengimport & Pengeksport Perdagangan China Kuching Datuk Yii Ming Tang, Pengerusi Pengelola Dato Sim Kiang Chiok serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

add comment