India Mahu Jalin Kerjasama Rapat Dengan Sarawak

SELASA, 20 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Negara India berminat untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan Sarawak dalam pelbagai bidang yang berpotensi untuk maju.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B Nagabhushana Reddy berkata, pihaknya bersedia menawarkan kepakaran mereka dalam bidang digital untuk membantu Kerajaan Sarawak merealisasikan transformasi ekonomi di negeri ini.

Jelasnya, beliau yakin dengan potensi yang dimiliki oleh Sarawak dan percaya hubungan dua hala ini akan bertambah baik pada masa akan datang.

Tambahnya lagi, Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Sarawak merupakan satu hala tuju yang sangat berkesan.

“Saya melihat ini sebagai hasrat kerajaan Sarawak untuk mengubah ekonomi secara digital dimana matlamatnya menjurus kepada pembangunan sektor tenaga, sektor minyak dan gas serta sektor sosial,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.

Sementara itu, Reddy turut yakin bahawa kemasukan pelancong India ke Sarawak akan bertambah pada masa akan datang terutamanya selepas penganjuran Konvensyen Persekutuan Ejen Pelancongan India (TAFI) yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula Selasa hingga Jumaat ini.

Turut hadir dalam kunjungan hormat ini adalah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan delegasi Konsortium Industri India Di Malaysia (CIIM).-Edisi UKAS

add comment