Nilai Dagangan Sarawak & India Cecah RM9.933 Bilion Pada 2021

SELASA, 20 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Jumlah nilai dagangan antara Sarawak dengan negara India telah mencecah RM9.933 bilion pada tahun 2021.

Difahamkan, jumlah tersebut merangkumi perdagangan eksport minyak sawit dan petroleum selain produk yang diimport seperti bijih aluminum dan logam bukan ferus.

Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, masih terdapat banyak ruang untuk penambahan aktiviti perdagangan antara Sarawak dengan negara tersebut.

Beliau turut mengalu-alukan syarikat-syarikat dari India untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak khususnya dalam sektor ekonomi digital di mana negara tersebut mempunyai kepakaran yang berkaitan.

Datuk Amar Awang Tengah berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Terdahulu pada Isnin, Timbalan Premier Sarawak itu menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy di pejabat beliau di Wisma Sumber Alam di sini.

Pada kunjungan hormat tersebut, beliau serta Reddy telah bertukar idea dan pandangan berkenaan beberapa aspek yang boleh mewujudkan kolaborasi antara Sarawak dan negara India.

Ia termasuk sektor digital dan semikonduktor, biofarmaseutikal, pelancongan, pembinaan dan juga pertanian komersial.

Antara yang turut hadir ialah Penasihat (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Hashim Bojet, Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi India Ke Malaysia, C. Sushma dan Pengerusi Pengasas Konsortium Industri India Di Malaysia (CIIM), Datuk Umang Sharma. -Edisi UKAS

add comment