Banduan Boleh Dilepaskan Secara Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL)

RABU, 21 SEPTEMBER 2022.

SIBU: Banduan boleh dilepaskan secara Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di mana mereka diberi peluang untuk menjalani hukuman pemenjaraan di luar penjara dan mengikuti program pemulihan dalam komuniti.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata banduan secara tidak langsung boleh merapatkan kembali hubungan kekeluargaan dan memberi peluang kepada mereka untuk mencari pekerjaan melalui kemahiran yang mereka telah pelajari di dalam penjara.

Katanya, ini bagi membolehkan mereka membuat perancangan masa depan dengan adanya punca pendapatan.

Jelasnya, mengikut rekod Jabatan Penjara Sarawak, terdapat seramai 1,274 banduan yang dipenjarakan kerana aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans pada 2021 dari Januari hingga Disember.

“PBSL merupakan satu alternatif peluang kedua dan ia adalah satu keistimewaan yang diberikan kepada banduan yang layak atas alasan-alasan seperti merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan, perancangan masa depan dan lain-lain perkara yang difikirkan wajar oleh Komisioner Jeneral Penjara.

“Selain itu, PBSL juga bertujuan untuk menguranngkan kesesakan di dalam penjara dan memberi pelepasan kepada banduan untuk menjalani hukuman pemenjaraan di luar batasan penjara dan mengikuti program pemulihan komuniti.”

Beliau berkata demikian dalam Liputan Media Program Outreach Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Tahun 2022 bertempat di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata program sebegini memberi sokongan pemerkasaan kepada banduan dan bekas banduan MPS untuk meneraju beberapa program bersepadu melalui One Stop Centre (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS).

“Diharap kerjasama bersepadu ini akan memberi lebih banyak peluang kepada bekas banduan agar ahli keluarga mereka disantuni, mendapat bantuan perkhidmatan yang diperlukan untuk menangani isu dan masalah sosial yang dihadapi secara konsisten.

“Seterusnya, agar mereka dapat menjalankan fungsi sosial dan meneruskan kehidupan bermasyarakat demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Komisioner Penjara Ajidin Salleh, Timbalan Komisioner Penjara, Mohd Andri Md Ridzwan, Penolong Komisioner Penjara Hamad Seman dan Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah.-EDISI UKAS

add comment