Datuk Amar Awang Tengah Terima Kunjungan Hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China Di Kuching

RABU, 21 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di pejabat beliau di Wisma Sumber Alam di sini pada Rabu. 

Pada kunjungan hormat itu, Datuk Amar Awang Tengah serta Xing telah berbincang serta bertukar pendapat berkenaan aspek-aspek yang boleh mewujudkan kolaborasi antara Sarawak dan negara China terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan. 

Potensi kolaborasi tersebut termasuk dalam bidang pembangunan infrastruktur, pendigitalan, teknologi tinggi, minyak dan gas, petrokimia serta pertanian komersial. 

Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak memaklumkan kepada Xing bahawa negeri ini khususnya dan Malaysia secara amnya telah mengekalkan hubungan baik dengan Republik Rakyat China semenjak tahun 1974 termasuk dari segi hubungan kerajaan, perniagaan dan juga sosial. 

Datuk Amar Awang Tengah turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari China untuk meneroka potensi perdagangan dan pelaburan di negeri ini. 

Difahamkan, negara China merupakan rakan dagang utama Sarawak dengan jumlah nilai dagangan antara kedua-dua pihak mencecah RM27.045 bilion pada tahun 2021. 

Aktivti eksport dinilai pada RM18.6 bilion dengan kebanyakkannya disumbangkan oleh eksport gas asli cecair manakala jumlah import pula mencecah RM8.4 bilion terutamanya untuk bahan kimia, bahan api mineral, pelincir serta barang perkilangan. 

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron dan Timbalan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Song Changhong. -Edisi UKAS 

add comment