RABU, 21 SEPTEMBER 2022
SERIAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan mengadakan Latih Amal dan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara Bencana Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 pada 27 September depan bertempat di Dewan Serbaguna Ranchan Serian.
Mesyuarat penyelasan telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan Pengurusan Bencana JKMS, Harry Silas Tirau di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian pada Selasa.
Program ini dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Antara objektif latih amal dan simulasi itu adalah bagi menjelaskan peranan dan tanggungjawab JKMS sebelum, semasa dan pasca banjir mengikut prosedur operasi standard (SOP) JKMS.
Seterusnya bagi menjelaskan peranan dan tanggungjawab agensi lain semasa dan selepas bencana dan menjelaskan peranan dan tanggungjawab tujuh jawatankuasa pusat pemindahan.
Selain itu, ia juga bagi memantap dan mengeratkan lagi kerjasama agensi kerajaan, swasta, pertubuhan sukarelawan kebajikan, pemimpin tempatan dan komuniti setempat dalam pengurusan bencana.
Objektif berikutnya supaya sentiasa berada dalam kesiapsiagaan iaitu berkebolehan untuk menjangka dan bertindak balas secara efektif apabila berlaku bencana.
Ia juga membolehkan petugas dan sukarelawan JKM berinteraksi, berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang tugas masing-masing. -EDISI UKAS