KPDNHEP Komited Memudahcara Pelaksanaan Permit Khas Petroleum Untuk Rakyat

RABU, 21 SEPTEMBER 2022.

SARIKEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dengan amalan organisasi ‘Ease of Doing Business’ bagi memudahkan pelaksanaan permit khas petroleum di semua peringkat peniaga dan pengguna seperti termaktub di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Di bawah peruntukan undang-undang (AKB) 1961, setiap stesen minyak perlu mempunyai lesen di bawah Akta berkenaan bagi membolehkan stesen minyak itu menjalankan transaksi petrol dan diesel.

Antara syarat yang telah ditetapkan di bawah lesen terbabit adalah mana-mana stesen minyak tidak dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali tangki asal kenderaan berkenaan atau yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan dan mana-mana pihak yang mendapat kebenaran daripada pihak KPDNHEP di bawah peruntukan undang-undang AKB 1961.

Mana-mana syarikat, organisasi, atau individu berskala kecil yang layak membeli petrol dan diesel dari stesen minyak untuk kegunaan persendirian adalah dibenarkan, tertakluk kepada permohonan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, ini bagi mengelakkan barangan terkawal dan bersubsidi seperti petrol dan diesel daripada disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, keperluan Permit Khas adalah bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja manakala mana-mana pihak yang membeli dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan Permit Khas.

Kementerian turut memudahkan cara permohonan permit khas ini di mana permohonan boleh dibuat melalui atas talian melalui sistem Mysubsidi Permit Khas dipautan www.permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

Sehingga kini, antara pihak yang telah mendapat Permit Khas daripada pihak Kementerian adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pendalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa (bukan pemegang kad e-nelayan).

Sebarang aduan dan pertanyaan, pengguna boleh menyalurkan hubungi Kementerian ini melalui Portal  e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) Sarikei 084-657751, Talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), Whatsapp ke 019- 279 4317, Lapor atau hadir ke pejabat KPDNHEP Sarikei.

Dalam masa yang sama, Kementerian juga komited dalam melindungi kepentingan dan hak-hak pengguna.

Ini termasuk membangunkan ekosistem pengguna dan peniaga yang bersifat melengkapi dan ke arah self-regulated, seiring dengan aspirasi ke arah masyarakat negara maju.

Ia diharapkan akan melahirkan pengguna dan peniaga yang matang dan beretika dalam berurusniaga dan hasilnya adalah negara yang seimbang dari segi ekonomi dan sosial.-EDISI UKAS

add comment