Pastikan Projek RTP Siap Ikut Spesifikasi

RABU, 21 SEPTEMBER 2022

SIMUNJAN: Kerajaan negeri sentiasa memastikan projek rakyat melibatkan Projek Transformasi Luar bandar (RTP) disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, setiap wakil kerajaan Sarawak perlu memastikan semua projek RTP di kawasan masing-masing dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Menurutnya, contohnya di kawasan Simunjan, terdapat beberapa projek RTP yang mengalami kelewatan disebabkan masalah kontraktor sehingga menyebabkan projek tersebut lambat disiapkan.

“Saya telah mengadakan lawatan ke tapak projek RTP bagi menaik taraf ruai Rumah Panjang Kampung Ensengei Iban, Simunjan.

“Projek yang bernilai RM348,856.33 merupakan projek di bawah RTP ADUN 2019 telah disambung semula apabila kontraktor terdahulu gagal menyiapkan projek tersebut di mana kontraktor skop kerja asal ditukar kepada skop kerja pembetulan,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berharap kontraktor terlibat agar melaksanakan kerja dengan mengikut jadual ditetapkan.

Turut hadir adalah Jurutera Awam JKR Bahagian Samarahan, Allan Chu Chang Loong, Pengurus Besar Ikhtiar Construction, Muhamad Zaidie Azemi, Tr. Minchong Pakal, Kampung Sebuyau Ensengei Iban Baru, Tr. Muda Bujang, Kampung Ensengei Iban Asal dan Ketua PBB Zon 4 Rangawan, Rafendy Ariffien. -EDISI UKAS

add comment