Sarawak Siap Sedia Hadapi Musim Monsun Timur Laut

RABU, 21 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut akan datang.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Sarawak dijangka dilanda musim itu bermula Disember hingga Januari tahun depan.

“Kita mengadakan perbincangan untuk merancang persiapan bermula dari peringkat bahagian, semua jabatan dan badan berkaitan di seluruh negeri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat secara talian pada Rabu.

Dalam pada itu, tambahnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengenal pasti 310 lokasi titik panas banjir.

“Ini termasuk 73 di Bahagian Sibu, Sri Aman (52), Kuching (42), 40 masing-masing di Samarahan dan Miri, 32 Bintulu (32) dan Limbang (31).

“Selain itu, 97 lokasi telah dikenal pasti sebagai paling berisiko untuk perhubungan jalan raya terputus dan kebanyakannya di Sibu iaitu sebanyak 42 lokasi.

“Terdapat juga 77 lokasi terdedah risiko tanah runtuh dan Sibu turut dilaporkan mempunyai paling banyak lokasi berisiko iaitu sebanyak 32,” jelasnya.

Datuk Amar Douglas Uggah berkata, JBPM Sarawak kini sedang menyenaraikan kira-kira 1,590 pegawai untuk bertugas sepanjang tempoh itu.

“Bagi meningkatkan kecekapan mereka, kira-kira 9,187 ahli daripada 921 pasukan Bomba Komuniti, 8,624 anggota di bawah program 40 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) dan lain-lain turut digerakkan.

“Dari segi logistik, JBPM Sarawak sedang menyediakan 48 bot, 16 lori, 87 kenderaan empat roda dan sebuah helikopter,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan pihak polis akan mempersiapkan kira-kira 1,663 pegawai dan juga 52 lori, 109 kenderaan empat roda, 119 kereta, 35 van dan sebuah ambulans serta sebuah bas.

“Untuk operasi sungai dan laut mereka telah menyediakan 647 pelbagai aset seperti jet ski, bot dan jaket keselamatan.

“Polis juga telah mengenal pasti 631 pusat pemindahan yang mampu menampung 188,360 mangsa di sekolah dan pusat komuniti.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah menyediakan depoh stok makanan dan keperluan lain.

“Seramai 1,971 pegawai dan sukarelawan akan membantu di pusat pemindahan ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, menurut Datuk Amar Douglas Uggah, pasukan Pengawal Pantai Sarawak yang baru ditubuhkan turut mempersiapkan enam pemintas, enam bot panjang dan 100 anggota.

Mengenai aset penting lain, beliau menambah negeri ini mempunyai 245 taburan hujan, 280 telemetri dan 114 stesen paras air.

Dalam perkembangan sama, ujar beliau, kursus tiga hari akan diadakan di Sibu pada Oktober depan sebagai persiapan yang lebih baik dalam operasi menyelamat.

Pada masa sama, Datuk Amar Douglas Uggah merakamkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail, Sultan Johor kerana sudi menyumbangkan 6,400 buah khemah kepada JPBNS menerusi program di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor. -EDISI UKAS

add comment