KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022
MARUDI: Kerja-kerja pembinaan Jambatan Marudi dijangka mengambil tempoh selama 24 bulan untuk disiapkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, kontraktor baharu memberi jaminan tersebut setelah mengambil alih projek itu baru-baru ini.
“Perkhidmatan kontraktor lama telah ditamatkan setelah saya mendapati pelaksanaan pembinaan jambatan ini tergendala.
“Oleh itu, kita telah melantik kontraktor baharu yang lebih berpengalaman dan mereka memberi jaminan bahawa projek ini dapat disiapkan dalam jangka masa 24 bulan,” katanya ketika berucap di Dewan Suarah Marudi di sini pada Khamis.
Terdahulu, beliau telah menghadiri sesi taklimat oleh beberapa agensi kerajaan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Marudi.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata, jambatan tersebut akan meningkatkan lagi ketersambungan antara Miri dengan Marudi.
Beliau turut menegaskan, pelaksanaan projek itu serta projek-projek pembangunan lain termasuk infrastruktur jalan raya akan mengubah landskap ekonomi kawasan Baram pada masa depan.
Sementara itu katanya, perancangan rapi perlu ada bagi membangunkan kawasan luar bandar.
“Walaupun kos agak tinggi dan ianya tidak akan mengambil masa singkat, namun kita akan laksanakan pembangunan secara berperingkat,” jelasnya.
Ujarnya lagi, pelaksanaan ini selaras dengan matlamat Sarawak untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Pada program tersebut, Premier Sarawak turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang diwakili Pengarahnya, Ir. Richard Tajan kepada Syarikat Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd yang diwakili Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr Penguang Manggil, Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Chiew Chee Yau dan Residen Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf. -Edisi UKAS