KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022.
SARIKEI: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) telah mengadakan Sesi Rintis Perbincangan antara Kementerian dan Belia di Bahagian Sarikei dalam usaha untuk mengenalpasti punca dan faktor kurang minat para belia dalam bidang teknikal dan kemahiran berbanding akademik.
Sesi perbincangan tersebut melibatkan guru-guru kaunseling, persatuan belia dan wakil-wakil dari pelbagai peringkat umur serta latar belakang.
Antara isu yang menjadi tumpuan ialah tahap pendidikan, latihan dan kesedaran tentang peluang pendidikan teknikal dan latihan khusus kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain itu perbincangan juga mengambil kira situasi pekerjaan setempat, pengangguran belia dan kesedaran maklumat berkaitan pembangunan industri.
Idea dan maklumbalas yang diperolehi dari sesi rintis perbincangan itu akan menjadi asas dan indikator dalam menambahbaik proses penyampaian maklumat serta menarik minat lebih banyak belia dalam sektor teknikal khusus kepada pembangunan industri di Sarawak.
Ini adalah kerana tenaga kerja mahir dalam pembangunan industri masih banyak bergantung kepada pekerja dari luar negara.
Selain minat para belia, kerjasama dan sokongan para ibubapa juga amat penting untuk membantu hala tuju anak-anak mereka bagi memenuhi pasaran perkerjaan agar dapat mengambil peluang yang telah banyak disediakan oleh kerajaan.
Sebelum itu rombongan dari MEITD turut mengadakan sesi perbincangan bersama para guru kaunseling di Daerah Sarikei bagi mendapatkan maklumbalas tentang minat serta hala tuju pelajar sebelum dan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka juga turut mengadakan lawatan sambil belajar di Giant Mara Sarikei dan Saratok untuk meninjau pelatih-pelatih yang sedang mengikuti yang diambil.
Menurut Pegawai Tadbir Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Zulkipli, pihak sekolah atau persatuan belia di kawasan boleh berhubung dengan pihak kementerian khususnya Bahagian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat untuk mengadakan apa-apa program berkaitan pendidikan dan kemahiran teknikal bagi membantu menarik minat belia.
Katanya, ini bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir bagi memenuhi permintaan dalam sektor perindustrian dan pembuatan.-EDISI UKAS