Menangkap Ikan Di Luar Zon, Vesel Nelayan Tempatan Ditahan

KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan vesel nelayan tempatan yang disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen. 

Vesel nelayan tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 6.3 batu nautika dari Kuala Tatau, Bintulu pada 21 September, sekitar jam 6.30 awal pagi Rabu. 

Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, tangkapan ini dilakukan berdasarkan kepada aduan orang awam yang mana terlalu banyak vesel nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan bagi nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai.

“Untuk bulan September sahaja, Zon Maritim Bintulu telah menahan tiga buah vesel nelayan tempatan yang telah melanggar undang-undang dengan menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan. 

“Ini menunjukkan, Zon Maritim Bintulu memandang serius ke atas aduan orang awam berkaitan pencerobahan seperti ini yang mana boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekosistem pantai dan menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan kecil,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu. 

Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong warga tempatan manakala dua kru yang lain adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 38 hingga 65 tahun. 

Kesemua kru tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri iaitu passport serta mempunyai permit untuk bekerja di atas vesel nelayan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Selain itu, Maritim Malaysia turut menyita vesel, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, beserta 200 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap.

Kesemua kru beserta bot nelayan ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, kedua-dua vesel tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Justeru, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut. 

Sebarang maklumat serta aduan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut boleh hubungi melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.-EDISI UKAS 

add comment