Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana Sambutan Hari Lahir TYT Diadakan, Pastikan Program Berjalan Lancar

KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022

MIRI: Satu mesyuarat jawatankuasa pengelola dan pelaksana bagi program sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk tahun ini telah diadakan disini pada Rabu.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan untuk memastikan program itu berjalan dengan lancar.

Mesyuarat yang dianjurkan oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak itu juga telah diadakan secara hibrid yang melibatkan ketua atau wakil daripada 27 agensi yang terlibat.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak Azlan Ali Badri.

Untuk rekod, bandar Miri sekali lagi terpilih sebagai tuan rumah sambutan perayaan Hari Lahir Tun Pehin Sri Abdul Taib yang ke-86 bermula 7 Oktober hingga 9 Oktober ini. 

Sambutan ini nanti akan menyaksikan lima acara utama diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan kali ini iaitu Majlis Kesyukuran bertempat di Masjid At-Taqwa Miri, Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa dilaksanakan di Stadium Terbuka Miri, Istiadat Pengurnian Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Hotel Meritz Miri, Majlis Jamuan Negeri di Pullman Miri Waterfront serta Majlis Jamuan Teh di Eastwood Valley Golf and Country Club Miri.-EDISI UKAS

add comment